Pengenalan

Mata merupakan salah satu pancaindera manusia yang penting  yang dikurniakan Illahi kepada makhlukNya. Ia boleh diibaratkan seperti sebuah jendela yang dapat memberi kepada kita segala bentuk keindahan dan kehidupan alam maya apabila kita membukanya. Justeru , anugerah ini perlu dijaga dengan baik dan sempurna, kerana kegagalan melakukannya akan menimbulkan masalah dalam penglihatan seseorang.

Gambar 1:  Jendela penglihatan

Ketika kita menikmati keindahan alam, tiba-tiba penglihatan kita menjadi kabur, ini bermakna penglihatan kita tidak lagi  tajam sehingga kita tidak dapat melihat dengan jelas dan puas. Segala kecantikan alam maya sudah bertukar menjadi kabur, tidak lagi seperti dahulu kerana ada sesuatu yang tidak kena dengan mata kita. Fungsi asalnya tidak lagi ada.  Ini bermakna, mata kita memerlukan rawatan. Kita tidak lagi  dapat melakukan pelbagai aktiviti seharian dengan lancar.

Gambar 2:  Anatomi Mata

Dalam keadaan biasa, sekiranya mata kita tidak mengalami kecederaan atau tidak disebabkan oleh penyakit-penyakit kronik, tetapi kita tidak dapat melihat dengan jelas, maka kita dianggap sedang mengalami kerabunan mata.  Ada dikalangan kita mengalami rabun dekat dan ada pula rabun jauh atau kedua-duanya sekali. Secara teorinya, bagi seseorang yang tidak rabun, cahaya yang memasuki mata kita, akan jatuh tepat pada retina. Retina merupakan sejenis lapisan tisu peka cahaya yang menggarisi permukaan dalam mata. Optik mata akan menghasilkan gambaran alam pada retina yang lebih kurang sama fungsinya dengan filem kamera. Justeru, sekiranya seseorang itu mengalami rabun jauh, cahaya yang memasuki mata akan jatuh di hadapan retina, dan bagi seseorang yang rabun dekat, sinaran cahaya jatuh di belakang retina.

Gambar 3:  Penglihatan normal

Selain dari masalah tersebut, masalah gangguan pada penglihatan seseorang disebabkan juga oleh beberapa masalah lain seperti penyakit mata, kecederaan atau abnormaliti struktur mata sejak lahir yang menghalang penglihatan normal pada satu atau kedua-dua belah mata, Peningkatan kadar penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes)  boleh meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan optik kerana beberapa penyakit kronik boleh menyebabkan masalah penglihatan.

Justeru, untuk membolehkan kita dapat melihat dengan lebih selesa dan jelas, kita perlu berjumpa dan mendapat khidmat nasihat dari seseorang yang mempunyai kepakaran dalam penjagaan dan kesihatan mata. Kita tidak boleh membiarkan keadaan mata kita tidak dirawati kerana ia akan memudaratkan kadar penglihatan mata kita. Apa pun ia terpulang pada  punca masalah mata yang menjejaskan penglihatan mata kita.   Oleh yang demikian kita perlu merujuk dan mendapat khidmat nasihat dari pihak-pihak kepakaran tertentu. Kalau tidak keadaan mata dan penglihatannya akan menjadi lebih teruk. Mungkin kita boleh menjadi buta.

Kepakaran 3Os ( Oftalmologis, Optometris, Optisian )

Apa pun masalah-masalah kita  mengenai kerabunan dan kekaburan pada penglihatan mata kita, kita perlu melakukan sesuatu untuk mengembalikan penglihatan kita semula kerana kita tidak dilahirkan dengan keadaan buta. Seandainya itu berlaku dan setelah kita mengalami dengan gejala-gejala simpton kerabunan mata atau apa-apa masalah berkenaan dengan penglihatan mata, maka sewajarnyalah seseorang itu tahu dengan siapa perlu dan patut berjumpa untuk mendapat rawatan. Samada di hospital , klinik mata atau mana-mana tempat yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mata, terdapat 3 kepakaran khusus yang boleh kita perolehi. Mereka adalah Oftalmologis, Optometris dan Optisian (Juruoptik). Mereka bertiga mempunyai tanggungjawab tersendiri.  Justeru, adalah amat  penting bagi kita mengetahui sejelas-jelasnya kepakaran mereka agar kita dapat  membuat pilihan yang tepat untuk merawat masalah mata kita.

Oftalmologis adalah seorang doktor perubatan yang mempunyai bidang pengkhususan dalam ilmu kesihatan dan penyakit mata (Oftalmologi). Seseorang Oftalmologis dikehendaki mempunyai ijazah pertama dalam bidang perubatan sebelum meneruskan pengajian pasca-ijazah dalam bidang oftalmologi..

Mereka layak melakukan  segala permasalahan penyakit mata termasuk pembedahan pada mata berkenaan dan akan menetapkan jenis kanca mata yang diperlukan oleh pesakit.

Optometris adalah seorang berkelulusan ijazah pertama dalam bidang Optometri, dan beliau bukan doctor perubatan.  Seorang optometris boleh melakukan pemeriksaan mata dan membuat diagnosa masalah-masalah penglihatan seperti glukoma, kataraks dan penyakit-penyakit retina termasuk melakukan diagnosa dan merawat keadaan penglihatan seperti rabun dekat dan  jauh, astigmatisma, atau presbyopia.. Profesion ini juga memberi penekanan tentang  penjagaan dan pengurusan  pesakit-pesakit mata. Mereka juga akan membuat keputusan samada seseorang pesakit mata itu boleh mengguna cermin mata dengan kuasa kaca mata yang ditentukan.

Gambar 4(a):  Optisian bersama pesakit

Selain dari Oftalmologis dan Optometris, terdapat satu lagi profesyen yang berfungsi seiring dengan dua profesyen tesebut di atas. Profesyen berkenaan adalah Optisian (Optician) atau juga dikenali sebagai Juruoptik. Tugas seorang Optisian ( Optician ) adalah seperti berikut:

  1. Membantu Oftalmologis dan Optometris di Hospital-Hospital  atau di Pusat-Pusat Kesihatan
  2. Membantu seseorang memilih dan memasang bingkai untuk cermin mata dan kanta sentuh yang telah dipreskripsikan oleh Oftalmologis atau Optometris
  3. Mereka bentuk kacamata yang sesuai, ini termasuk cermin mata, kanta sentuh, alat-alat penglihatan dan alat optik khusus. Setiap pasang cermin mata atau kanta sentuh direka khusus untuk keperluan pesakit tertentu sahaja.iv) Menasihati pelanggan mengenai jenis kanta, seperti kegunaan untuk penglihatan tunggal ( single) atau bifokal ( kanta dengan dua kuasa optik yang berbeza), dan membantu pelanggan memilih bingkai dan alat bantuan optik lain.
  4. Menasihati pelanggan mengenai jenis kanta, seperti kegunaan untuk penglihatan tunggal ( single ) atau bifokal ( kanta dengan dua kuasa optik yang berbeza), dan membantu pelanggan memilih bingkai dan alat bantuan optik lain.
  5. Menasihati pelanggan atau pesakit bagaimana untuk memakai dan menjaga cermin mata atau kanta sentuh mereka.
  6. Memeriksa tahap rabun mata pesakit dan memotong kanta kaca mata
  7. Graduan akan bergelar Optisian bertauliah yang boleh melakukan pemeriksaan asas refraksi bagi membetulkan ralat refraktif mata
  8. Mempunyai kemahiran optikal dalam melakukan peracikan kanta oftalmik, faham tentang pelbagai jenis kanta oftalmik dan mahir tentang rekabentuk bingkai
  9. mempunyai kepakaran dan pemeriksaan dan preskripsi cermin mata.

Gambar 4(b) :  Optisian bersama pesakit

Justeru, setelah kita mengetahui masalah penglihatan kita berdasar pada gejala-gejala simptom yang ditunjukkan, barulah boleh kita membuat keputusan samada kita perlu berjumpa dengan pakar Oftalmologis, Optometris atau Optisian (Juruoptik) untuk mendapat rawatan  supaya keindahan alam maya dapat dikembalikan semula kepada kita setelah keadaan dan masalah penglihatan mata kita dapat dipulihkan semula oleh pakar yang berkenaan.

Gambar 4(c):  Optisian bersama pesakit

Kelayakan sebagai Optisian

Di Malaysia, untuk melayakkan diri sebagai seorang Optisian Berdaftar atau Bertauliah seseorang itu hendaklah mempunyai Diploma dalam Optisianri. Kini di Malaysia , program ini hanya ditawarkan  di Kolej Vision, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Program yang mengambil masa pengajiannya selama 3 tahun ini telah mendapat akreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Bagi kelayakan kemasukan ke program ini, seseorang itu hendaklah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 3 kredit termasuk 2 subjek Sains ( Biologi, Kimia, Fizik ) atau Matematiks dan lulus Bahasa Inggeris.

Pengajaran dan pembelajaran program  Diploma Optisianri (DIO) dari kolej ini, selain dari sesi-sesi teori dalam bidang ini,  akan melibatkan juga sesi-sesi praktikal, klinikal di makmal-makmal klinikal dan dispensing  di pusat penjagaan mata di Kolej. Selain itu, pelajar-pelajar dikehendaki menjalani latihan industri dengan Pusat-Pusat atau Jabatan  Optometri Awam atau Swasta supaya pelajar-pelajar dapat meningkatkan lagi kemahiran latihan mereka disamping memperolehi kemahiran  dalam diagnosis pembetulan refraktif dan layak mengeluarkan  preskripsi dan dispensing alat-alat penglihatan mata.

Setelah tamat pengajian nanti, graduan secara otomatis akan didaftarkan bersama Majlis Optik Malaysia (MOC) dan memperolehi kedua-dua Sijil Pendaftaran Penuh dan Sijil Pengamalan yang akan dikeluarkan oleh MOC dibawah Kementerian Kesihatan, Malaysia. Kedua-dua sijil ini merupakan lesen sebagai Juruoptik (Optisian) Berdaftar atau Bertauliah untuk memiliki profesyen sebagai Optisian atau Juruoptik.

Pada masa sama Diploma dalam Optisianri dari Kolej Vision ini boleh digunakan sebagai sijil kelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama (Sarjana Muda) dalam bidang optometri di Institut Pengajian Tinggi tempatan atau seberang laut.

Sekiranya seseorang itu berminat dalam perniagaan , dan pada masa sama sudah mempunyai Diploma Optisianri dan sudah pun berdaftar dengan MOC dan bergelar Juruoptik atau Optisian Berdaftar maka seseorang itu layak untuk menjalankan perniagaan sendiri dalam penjagaan kesihatan mata (contoh: Perniagaan Kedai Cermin Mata) dengan lesen yang diperolehinya.

Optisian sebagai Kerjaya Masa Depan

Gambar 5 : Kedai Cermin Mata

Perniagaan kedai cermin mata merupakan perniagaan yang boleh menjamin masa depan dan mendatangkan keuntungan. Masih banyak orang yang memerlukan cermin mata. Cuba kita lihat disekeliling kita, ada orang yang memakai cermin mata samada dari keluarga kita, jiran , rakan sekerja, , rakan bermain atau teman sekelas. Di kalangan mereka, mesti ada seseorang yang memakai cermin mata. Ini membuktikan bahawa cermin mata adalah alat pemakaian yang masih sangat diperlukan. Namun, ada juga yang memakai cermin mata hitam dalam keadaan biasa, sebagai alat pemakaian harian supaya nampak lebih bergaya, Selain dari aspek peragaan yang menambah gaya seseorang  menerusi pemakaian cermin mata hitam ini, cermin ini juga dapat  membantu  melindungi mata kita dari pancaran sinar ultra unggu yang boleh memudaratkan mata kita.

Juga, pemakaian cermin mata tidak mengenal usia. Sekiranya berlaku gangguan dan kemerosokan penglihatan bagi bayi atau kanak-kanak dan keadaan itu boleh diperbetul dengan memakai cermin mata walaupun penglihatan tidak dapat dibaiki sepenuhnya, maka kita sebagai ibu bapa mesti memakai cermin mata pada bayi atau anak-anak kita. Adalah dianggarkan 80-90% proses pembelajaran di kalangan kanak-kanak memerlukan penglihatan yang terang dan jelas. Tahap penglihatan yang berkurangan boleh menjejaskan pembelajaran dan perkembangan tumbesaran. Bagi warga emas pula, semakin berusia semakin kerap dan banyak masalah-masalah penglihatan yang timbul, seperti katarak, glukoma, rabun dekat dan jauh dan masalah-masalah penyakit mata yang diakibatkan oleh penyakit-penyakit kronik yang boleh mengganggu penglihatan. Justeru, mereka yang berkenaan  yang juga ingin meneruskan sisa-sisa hidup mereka, hendaklah mengguna cermin mata yang sesuai untuk melihat dengan lebih jelas dan terang.

Statistik & Pengusahaan Kedai Cermin Mata  di Malaysia

Penulis ingin berkongsi satu maklumat yang agak mengecewakan. Pertengahan tahun 2019, penulis ada menghubungi pihak Majlis Optikal Malaysia (MOC)  untuk mengetahui  jumlah bilangan pemilik busines cermin mata yang berlesen di seluruh Negara. Jumlah yang diberi adalah seramai 3367 pemilik. Jumlah itu tidaklah sebegitu ramai memandangkan busines ini dapat memberi pulangan yang lumayan.

Gambar 6 : Sampel Cermin Mata

Oleh itu, penulis ingin mengajak para graduan yang sudah mempunyai Diploma dalam Optisianri dan sudah berdaftar dengan MOC supaya bergiat dan terlibat diri dalam busines cermin mata kerana ia boleh dijadikan satu kerjaya masa depan kita. Disamping kita menjadi Juruoptik atau Optisian yang berdaftar dan bertauliah, busines ini mempunyai masa depan yang cerah kerana ia melibatkan kesihatan. Permintaan cermin mata dikalangan masyarakat sentiasa ada. Dengan ilmu yang dimiliki, penulis percaya ia sudah tentu  dapat membantu dan meyakinkan diri untuk menjadi seorang Juruoptik atau Optisian yang berwibawa dan berjaya. Justeru, busines menjadi lebih mudah, maju dan berupaya untuk bersaing dikalangan pesaing-pesaing dalam busines yang sama. Pada masa sama, penulis menyarankan supaya lebih ramai lagi graduan dalam bidang ini  menceburi busines dalam bidang ini untuk meningkatkan lagi bilangan Juruoptik atau Optisian di Negara ini.

 

Penulis ingin berkongsi maklumat mengenai busines cermin mata sebagai panduan kerana busines ini:

  1. Tidak berisiko – statistik menunjukkan keperluan mengguna cermin mata berlaku pada semua tahap usia. Namun, makin berumur makin memerlukan cermin mata.
  2. Busines kesihatan – Cara terbaik untuk memulihkan penglihatan mata
  3. Pelanggan terus setia selagi kita menjaga mereka
  4. Seseorang yang berminat  pada fesyen, adalah lebih senang untuk  membuat pilihan pada bingkai cermin mata
  5. Dengan kepesatan dan keberkesanan media social, maka lebih senang untuk mempromosikan business.

Penutup

 

Sebagai akhir kata, penulis ingin mengingatkan kita semua bahawa kita perlu percaya dengan diri kita sendiri bahawa kita boleh berjaya dalam apa jua perkara atau busines yang kita ceburi. Pada masa sama biarlah busines kita ini terus berkekalan. Apa pun, harus kita ingat bahawa dalam hal membangun sesebuah busines bukan sesuatu aktiviti yang mudah, kerana ia harus didasari dengan niat serta keseriusan dalam menjalaninya supaya busines yang kita rintiskan itu mampu bertahan.

Kepada sesiapa yang ingin mengetahui program ini dengan lebih lanjut, sila hubungi Kolej Vision di talian 0126072700  atau layari di alamat sesawang www.vision.edu.my

 

Dato’ Dr Nik Najib bin Nik Abdul Rahman merupakan Ketua, Komunikasi Korporat, Kolej Vision.

 

———————————————————————————————————–

Close Menu